Sejarah Khat Nasakh Khat Nasakh dikatakan sebagai seni yang berasal dan berkembang dari tulisan Arab asli. Ia bermula dari asal Khat Arami, Nabati, kemudian dikenali sebagai Khat Hijazi sebelum kebangkitan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. (Ibrahim Damrah, 1987) Tulisan ini melalui proses pengindahannya secara berperingkat-peringkat. Pada kurun ketiga dan keempat Hijrah, seorang menteri dari kerajaan Abbasiah - Ali bin Muqlah (272-328H) bersama saudaranya Abdullah, telah memperhaluskan tulisan ini dan mencipta satu kaedah yang dikenali kini sebagai Kaedah Penulisan Khat Nasakh. Ibnu Muqlah sendiri pada asalnya menamakan khatnya ini sebagai al-Badi' tetapi dikenali oleh ramai sebagai Nasakh, mungkin lantaran peranan yang dimainkan oleh khat ini. Ia menjadi terkenal terutamanya pada kurun kelima.(Maarof Zuraiq, 1985). Khat ini terus diminati dan mula dipelajari secara meluas. Semasa pemerintahan Atabikah (545 H) khat ini seterusnya melalui satu proses yang dikatakan sebagai proses pengi...